IPOH – Cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun disifatkan sebagai komitmen kerajaan dalam memperkukuh budaya politik baharu dan memantapkan amalan demokrasi di negara ini.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, cadangan itu juga dilihat konsisten dengan pendirian Pakatan Harapan (PH) yang telah sekian lama diperjuangkan dalam beberapa siri Pilihan Raya Umum (PRU).
“Kita menyambut baik pengumuman itu kerana cadangan berkenaan dilihat konsisten dengan pendirian serta manifesto kita, bukan sahaja yang terkini, malah sejak PRU pada tahun 1999 lagi, ketika Barisan Alternatif memenangi pilihan raya pada 2004 dan seterusnya.
“Alhamdulilah, hari ini kita menunjukkan satu lagi komitmen untuk mengangkat budaya politik baharu iaitu amalan demokrasi yang dianggap cukup penting kerana dalam negara yang mengamalkan sistem Westminster, Malaysia mungkin negara pertama yang melaksanakannya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Kembali Ke Sekolah Tahun 2026 di Pasaraya Borong Sakan di Pusat Perdagangan Klebang di Chemor, di Ipoh hari ini.
Pada program itu, seramai 250 keluarga golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar eKasih di seluruh Perak menerima sumbangan sebanyak RM400.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, meskipun terdapat pro dan kontra dalam pelaksanaan cadangan tersebut, ia tidak harus menyekat usaha untuk meneroka perubahan politik yang baharu
“Ini adalah satu praktis dan amalan yang baharu, jadi sudah tentu ada ‘pro and cons’. Namun, ia tidak harus menyekat kita untuk meneroka pendekatan dan perubahan politik yang baharu, untuk kita sediakan Perdana Menteri dalam sistem demokrasi di negara ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas kenyataan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bahawa cadangan berkenaan merugikan negara, beliau berkata pandangan tersebut tidak menggambarkan keseluruhan manfaat yang bakal diperoleh.
“Kalau ikut cakap Machang, semua perkara dianggap tidak betul. Namun kita perlu melihat daripada sudut yang positif. Walaupun seseorang Perdana Menteri tidak lagi memegang jawatan selepas dua penggal, masih banyak peranan lain yang boleh disumbangkan dalam kepimpinan negara.
“Saya sama sekali tidak fikir ia adalah cadangan yang merugikan, sebaliknya cadangan segar yang perlu kita dukung bersama,” katanya. – KOSMO! ONLINE














