KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Bahagian Penguatkuasaan Parlimen Bukit Bintang melaksanakan pemantauan serta kawalan penguatkuasaan di sekitar kawasan Masjid India melibatkan beberapa lokasi utama termasuk hadapan Sogo, hadapan Muaz, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka, Jalan Melayu dan Lorong Tunku Abdul Rahman (TAR).
DBKL dalam kenyataan berkata, semua lokasi terbabit berada dalam keadaan baik dan terkawal, manakala aliran trafik juga berjalan lancar tanpa sebarang gangguan sepanjang operasi dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Sebanyak satu notis di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016, UUK 3(1) dikeluarkan di Jalan Tun Perak, manakala tiga notis bagi kesalahan sama dikeluarkan di Jalan Melaka.
“Selain itu, sebanyak lapan notis di bawah Akta Pengangkutan Jalan serta empat Notis Am turut dikeluarkan sepanjang operasi ini,” menurut kenyataan itu hari ini.
DBKL berkata, pihaknya turut mengambil satu tindakan sitaan terhadap penjaja tanpa lesen di Lorong TAR di bawah kesalahan UUK 3(1), dengan barangan sitaan dihantar ke stor DBKL.
“DBKL akan terus komited memastikan kawasan tumpuan awam sentiasa berada dalam keadaan teratur, selamat dan selesa untuk warga kota serta pengunjung,” katanya.
Tambahnya, DBKL turut menghargai kerjasama orang ramai dan menasihatkan semua pihak agar sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa. – KOSMO! ONLINE














