fbpx
MOTOSIKAL yang ditunggang suspek dipercayai bagi mengedar bekalan heroin dan syabu kepada penagih di sekitar Melaka.

Bapa dua anak jadi tokan dadah selepas menganggur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Seorang bapa dua anak dicekup polis selepas pemeriksaan ke atas motosikal ditunggangnya menemukan 30 peket heroin dan syabu di Masjid Tanah, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, suspek yang berusia 26 tahun telah ditahan pada pukul 4.20 petang oleh pasukan khas (task force) Balai Polis Masjid Tanah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

“Pemeriksaan ke atas motosikal jenis Yamaha LC135 ditunggang suspek menemukan 23 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 31.26 gram.

“Turut dirampas tujuh paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 5.47 gram. Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1,383.70,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Ujarnya, siasatan awal mendapati suspek baru pertama kali terlibat sebagai pengedar dadah bersama sindiket yang dipercayai aktif sejak Oktober lalu.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah sejak 2016 hingga kini, di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak itu sebelum ini pernah bekerja sebagai pemandu lori sebelum dia menganggur,” katanya.

Tambahnya, saringan awal ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morphine dan kini direman selama enam hari bermula sehingga 10 Januari bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya lagi, pihaknya juga sedang mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI