ADEN – Pemimpin kumpulan pemisah di selatan Yemen yang kini terdesak, Aidarous al-Zubaidi memutuskan untuk terus kekal dan berjuang di Aden, lapor akhbar The Guardian hari ini.
Menurut penyokongnya, beliau menolak kata dua Arab Saudi untuk ke Riyadh bagi menghadiri rundingan damai dan buat masa ini, menolak rancangan untuk melarikan diri dari ibu kota selatan Yemen itu.
Al-Zubaidi yang merupakan Presiden Majlis Transisi Selatan (STC) dilaporkan sedang mengumpulkan sakit baki tenteranya di Aden ketika pasukan seteru yang disokong Arab Saudi cuba mengambil alih bandar tersebut.
Penyokong beliau berkata, al-Zubaidi memilih untuk berperang hingga ke titisan darah terakhir.
Kerajaan perpaduan nasional yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan diketuai pakatan Arab Saudi menyokong pengekalan sebuah negara Yemen bersatu
STC sebelum ini menyertai pakatan tersebut untuk memerangi puak Houthi yang menguasai utara Yemen.
Kerajaan pakatan Riyadh bagaimanapun menuduh beliau melakukan pengkhianatan besar kerana menaikkan bendera kemerdekaan selatan Yemen secara unilateral.
Bekas pemimpin tentera yang kini bergelar ahli politik itu juga telah dipecat daripada Majlis Kepimpinan Presiden ekoran tindakan tersebut.
Keengganan al-Zubaidi untuk ke Riyadh semalam sekali gus mengingkari tuntutan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman.
Ia mendorong Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas kem tentera beliau di kubu kuatnya di kawasan Zubaid, wilayah Dhale.
Sebilangan kematian orang awam turut dilaporkan.
Salah seorang penasihat al-Zubaidi, Amr al-Baid berkata di media sosial: “Al-Zubaidi tidak meninggalkan Aden. Beliau kekal untuk memastikan keselamatan dan kestabilan, dan akan campur tangan secara langsung dalam rundingan masa depan Yemen apabila keadaan mengizinkan.”
Terdapat juga kebimbangan bahawa jika al-Zubaidi ke Riyadh, beliau akan ditangkap.
Beberapa ahli delegasi STC yang telah berangkat ke Riyadh dilaporkan gagal dihubungi setakat ini.
Timbalan Menteri Luar Yemen Awsan al-Aud, menegaskan: “Melalui pemberontakan ini, STC kini menjadi entiti haram.
“Pertempuran ini tidak akan lama. STC mesti dibubarkan, atau sekurang-kurangnya, mereka perlu menyerahkan senjata dan menjadi organisasi politik sahaja,” katanya.
Percubaan unilateral al-Zubaidi untuk mengisytiharkan kemerdekaan selatan Yemen mula runtuh selepas penyokong luar mereka, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menarik diri.
Hal ini berlaku selepas jelas bahawa Arab Saudi bersedia menggunakan kekerasan, bukan sahaja terhadap STC bagi menghalang perpecahan Yemen tetapi juga terhadap bekalan senjata UAE yang memasuki Yemen melalui bandar pelabuhan Mukalla.
Selepas memperluaskan pengaruhnya di luar Aden sejak tiga tahun lalu, al-Zubaidi pada awal Disember 2025 telah mengambil langkah drastik dengan menghantar puluhan ribu tentera lengkap bersenjata ke wilayah timur, Hadramaut dan al-Mahrah yang kaya dengan minyak serta bersempadan dengan Oman.
Ketika Arab Saudi dilihat teragak-agak dari segi ketenteraan dan UAE menyokong STC, demonstrasi pro kemerdekaan secara besar-besaran diadakan di ibu kota Hadramaut.
Mesej amaran kepada al-Zubaidi menyatakan: “Anda dan Putera (Khalid) mesti berdamai, bertemu, dan berbincang secara persaudaraan supaya beliau memahami justifikasi operasi ketenteraan serta kedudukan anda di Hadramaut dan Al-Mahra, agar perkara ini dapat diselesaikan.
”Putera akan membincangkan keperluan Majlis Transisi secara menyeluruh, termasuk pasukan tentera, mekanisme operasi, dan saluran komunikasi. Arab Saudi telah mengambil alih tanggungjawab ini ekoran penarikan diri UAE.
“Sebarang kelewatan atau kegagalan untuk menyahut jemputan ke Riyadh akan membawa kesan yang serius,” tambahnya.
UAE menyokong STC sejak penubuhannya pada 2017 kerana dianggap sebagai penghalang kepada kekuatan pertubuhan Ikhwanul Muslimin dan kumpulan Salafi di Yemen, selain menjadi laluan bagi Abu Dhabi mengawal pelabuhan Laut Merah.
Di bawah pengaruh UAE, STC juga menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan Israel.
Sebaliknya, Arab Saudi yang berkongsi sempadan dengan Yemen menentang perpecahan negara itu, kerana percaya ia akan melemahkan penentangan terhadap kumpulan Houthi yang menguasai utara Yemen.
UAE yang kini berasa terpinggir dalam isu Yemen berkemungkinan besar akan menyemak semula strateginya di rantau lain termasuk Sudan, di mana mereka menyokong kumpulan berbeza daripada pilihan Riyadh. – AGENSI














