MELAKA – Polis menemui kesan calar sepanjang 1.5 sentimeter pada rusuk kiri remaja lelaki berusia 13 tahun yang ditemukan meninggal dunia dalam bilik air rumahnya di Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesan calar itu berkemungkinan disebabkan terkena bucu sinki atau tandas, namun punca kematian hanya akan diketahui selepas keputusan analisis makmal diperoleh.
“Pemeriksaan pegawai D11, Jabatan Siasatan Jenayah Melaka terhadap tubuh si mati mendapati tiada unsur jenayah. Setakat ini kes diklafikasikan sebagai mati mengejut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Ditanya sama ada mangsa berkemungkinan terkena renjatan elektrik, beliau menolak andaian itu dan meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi.
Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas bapa mangsa yang berusia 50 tahun, lelaki itu mendakwa ketika kejadian anaknya berada bersendirian di rumah, manakala dia bersama isteri serta adik lelaki si mati keluar menguruskan hal insurans di Melaka Raya.
“Ibu bapa mangsa pulang semula ke rumah kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum terdengar bunyi air dari bilik air, namun pintu bilik terkunci dari dalam.
“Selepas memanggil mangsa beberapa kali dan tiada sahutan, bapa mangsa bertindak memecahkan pintu sebelum menemukan anaknya dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri,” katanya.
Mangsa dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka dengan bantuan ambulans dan diberikan bantuan pernafasan (CPR) selama 30 minit. Bagaimanapun remaja itu disahkan meninggal dunia pada pukul 12.20 tengah hari. – KOSMO! ONLINE














