TAMPIN – Komitmen dan kesungguhan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia terhadap pendidikan anak-anak bermula di peringkat awal jelas terbukti menerusi inisiatif pemberian Pek Kembali ke Sekolah sejak sembilan tahun lalu.
Sejak 2017, RMHC aktif melaksanakan menyantuni masyarakat setempat dan berjaya membantu kira-kira 200,000 anak-anak seluruh negara dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM12 juta bagi persiapan kelengkapan memulakan pembelajaran di sekolah rendah.
Terbaharu, Yayasan Jaafar Ahmad melalui RMHC Malaysia menyumbangkan 300 Pek Kembali ke Sekolah kepada anak-anak daripada 17 buah sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) (Felda) Pasir Besar serta sekolah Tabika Kemas di sekitar Tampin.
Menurut Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia dan juga Presiden RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, usaha itu mendapat pelbagai respons positif bukan sahaja dalam kalangan ibu bapa, bahkan guru-guru.

“Anak-anak ini menjadi lebih bersemangat untuk ke sekolah kerana boleh memilih sendiri sepasang pakaian serta seluar yang baharu termasuk sepasang kasut sebelum memulakan sesi persekolahan.
“Jadi, mereka lebih yakin ke sekolah terutamanya di hari pertama persekolahan.
“Kehadiran ke sekolah dan keputusan pelajaran mereka juga meningkat. Bila kita buat kajian, sumbangan ini bukan hanya membantu ibu bapa memenuhi keperluan anak, bahkan anak pun lebih fokus untuk belajar.
“Program ini bermula pada tahun 2017 yang mana kita bermula di SK (Felda) Pasir Besar, sebelum program ini diadakan secara menyeluruh membabitkan anak-anak dari seluruh negara.
“Kejayaan program ini boleh kita lihat di SK (Felda) Pasir Besar ini sendiri yang telah menerima banyak pengiktirafan baik di peringkat daerah mahupun di peringkat negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Program Pek Kembali ke Sekolah anjuran RMHC Malaysia dan Penyerahan Sumbangan Yayasan Jaafar Ahmad di Dewan Semai Bakti Felda Pasir Besar, di sini baru-baru ini.
Pada majlis berkenaan, Azmir menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Guru Besar SK (Felda) Pasir Besar, Aznizam Mohamad Nor.
Turut hadir memeriahkan majlis berkenaan ialah Penasihat Yayasan Jaafar Ahmad, Zainuddin Jaafar; Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd. Nasri Mohd. Nordin dan Pengurus Felda Pasir Besar, Mohd. Mahfuz Zainal Abidin.

Sementara itu, Zainuddin berkata, program yang dilaksanakan itu memberi makna yang cukup besar buat Yayasan Jaafar Ahmad terutamanya buat dirinya sendiri yang merupakan anak jati Felda Pasir Besar.
“Bagi sesetengah keluarga, menyediakan kelengkapan persekolahan mungkin sesuatu yang biasa. Namun bagi keluarga yang memerlukan, ia boleh menjadi satu cabaran besar setiap kali sesi persekolahan baharu bermula.
“Ini adalah antara pengalaman yang turut saya dan adik-beradik rasai sendiri semasa kecil. Sebagai anak jati peneroka Felda Pasir Besar, di sinilah kami membesar dan bersekolah, serta belajar tentang erti usaha, kesungguhan dan kepentingan pendidikan dalam hidup.
“Semasa kami adik beradik membesar, bapa kami sentiasa mengingatkan tentang kepentingan pendidikan dan pelajaran. Memang menjadi hasrat bapa kami supaya satu hari nanti, kami dapat menyumbang semula kepada komuniti dan orang-orang kampung.
“Oleh itu, kami harap bantuan ini akan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh anak-anak ini dengan belajar bersungguh-sungguh serta tidak mudah berputus asa. Setiap usaha kecil yang dilakukan hari ini akan membawa makna besar pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang ibu kepada murid penerima bantuan, Norhidayu Ab. Samad, 33, meluahkan rasa terharu kerana dia mempunyai empat orang anak yang masih kecil.
“Saya tak mampu keluarkan kos membeli kelengkapan baharu untuk semua anak ke sekolah. Jadi bila anak saya, Nur Ain Jasmin Abdul Halim, 6, terpilih terima, saya jadi terharu. Biasa dia akan pakai baju kakaknya sahaja ke sekolah,” katanya.

Menurut suri rumah itu, buat masa ini hanya suaminya sahaja yang bekerja sebagai tukang sapu sampah dengan bayaran sekitar RM900 sebulan dan bantuan tersebut benar-benar dinantikan oleh mereka sekeluarga.
Bagi seorang pekerja kedai pula, Syafiqah Alwi, 31, dia yang memiliki dua anak turut merasai cabaran untuk menyediakan bajet persekolahan walaupun ini merupakan kali pertama anaknya bakal memulakan sesi persekolahan di peringkat rendah.
“Kos persediaan untuk ke sekolah bukan sedikit. Biasanyalah kalau yang macam kita dapat bantuan hari ini: baju, kasut dan beg sekolah kita kena belanja dalam RM200 ke RM300.
“Jadi bila dapat bantuan ini, bajet itu kita boleh salur untuk beli buku latihan atau kelengkapan lain pula,” katanya.
Tambahnya, dia berharap agar bantuan dari RMHC akan berterusan setiap tahun kerana ia banyak membantu meringankan beban keluarga selain memberi keceriaan kepada anak-anak. – KOSMO! ONLINE














