KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 selepas menewaskan Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu dari Indonesia.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini, gandingan juara dunia itu mencatat kemenangan straight set 21-12, 21-17 dalam tempoh 39 minit.
Kemenangan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei bakal membuat perhitungan menentang rakan sepasukan, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, sekali gus menjamin satu slot di suku akhir milik Malaysia.
“Saya rasa itu (bertemu sesama sendiri) berita gembira buat Malaysia sebab sudah ada satu wakil ke suku akhir nanti. Untuk kita, sesama pemain sudah tentu masing-masing mahu mencatat kemenangan.
“Bagaimanapun, kita akan cuba berikan yang terbaik untuk setiap perlawanan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Tambah Tang Jie, meskipun sudah mencatat tujuh kemenangan berturut-turut ke atas Jafar-Felisha, namun dia menganggap gandingan Indonesia masih merupakan salah satu beregu yang sukar untuk ditentang.
Terdahulu, Pang Ron-Su Yin memastikan kemaraan ke pusingan kedua selepas bangkit mencatat kemenangan 20-22, 21-18, 21-17 ke atas beregu berpengalaman Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje.
Sementara itu, beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut meneruskan kemaraan selepas mudah menewaskan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dengan aksi straight set 21-17, 21-18. – KOSMO! ONLINE














