KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berharap untuk melangkah lebih jauh pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 apabila bakal turun dalam aksi pusingan pertama di Axiata Arena, Bukit Jalil esok.
Pemain No.28 dunia itu bakal membuat perhitungan dengan pemain muda China, Wang Zheng Xing dengan kedua-dua pemain tidak pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan sebelum ini.
Jun Hao berkata, walaupun berdepan pemain lebih muda tetapi dia tidak boleh berada dalam keadaan terlalu selesa kerana menganggap saingan Jelajah Dunia Super 1000 sentiasa menjanjikan cabaran sukar.
Justeru, dia sedia memberikan sepenuh fokus bagi meneruskan kemaraan ke pusingan kedua, sekali gus memperbaiki pencapaian musim lalu di mana dia menamatkan saingan di pusingan pertama.
“Saya rasa dekat kejohanan Super 1000 ini tidak ada yang tidak kuat ataupun perlawanan senang. Oleh itu, lawan sesiapa pun memang saya perlu memberikan aksi 100 peratus untuk memberikan cabaran.
“Tahun lepas saya bermain di Terbuka Malaysia buat kali pertama dan tersingkir di pusingan pertama. Fokus saya tahun ini adalah untuk menang di pusingan pertama dan melangkah lebih jauh,” katanya.
Dia yang juga bekas juara remaja Asia menjelaskan, dia hanya mahu memberikan fokus satu demi satu perlawanan selain mengakui masih cuba memperbaiki prestasi meskipun sudah meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025.
“Bagi saya, hanya perlu fokus satu per satu setiap hari. Saya fikir masih perlu buat yang terbaik untuk terus ke depan, jadi saya hanya perlu bersiap sedia dan tampilkan permainan sendiri Rabu nanti (hari ini),” ujar Jun Hao.
Sebagai rekod, kali terakhir pemain Malaysia melangkah ke pentas final Terbuka Malaysia adalah menerusi legenda badminton tanah air, Datuk Seri Lee Chong Wei ketika muncul juara pada edisi 2018. – KOSMO! ONLINE














