HULU SELANGOR – Cadangan menghadkan jawatan Perdana Menteri untuk tidak melebihi 10 tahun merupakan tempoh yang munasabah dan memadai.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hasrat tersebut sebenarnya sudah berada dalam perancangan menerusi gerakan reformasi sejak tahun 1999.
“Kita dah ada (hasrat) untuk hadkan tempoh jawatan Perdana Menteri. Jadi, sekarang baru dapat jadi kerajaan dan pengumuman (Datuk Seri Anwar Ibrahim) itu dibuat setelah semuanya stabil dari sudut politik dan ekonomi.
“Hikmahnya adalah bahawa 10 tahun adalah tempoh yang munasabah sekirannya seorang Perdana Menteri ingin menterjemahkan sebarang perubahan semasa berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Bandar Sungai Buaya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, tempoh 10 tahun itu juga memadai bagi seorang pemimpin untuk melihat agenda reformasi yang dibawa.
“(Had 10 tahun itu juga) menghantar satu signal yang kuat bahawa tempoh pegang jawatan ini bukalah satu tempoh untuk kita berlama-lama dan kita ada prinsip tanggungjawab dan pertanggungjawaban.
“Rakyat juga jelas bahawa di bawah kepimpinan ini selama 10 tahun, rakyat boleh nilai dengan adil berdasarkan apa dasar dan perubahan yang dilaksanakan.
“Dengn ini, kita dapat mendidik rakyat bahawa mereka tidak memilih pemimpin dan kerajaan berdasarkan sentimen semata-mata,” ujarnya.
Semalam, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh.
Anwar dilaporkan berkata, RUU itu ialah satu daripada langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini. – KOSMO! ONLINE














