fbpx
Ramanan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat TalentCorp, Menara Surian, Petaling Jaya hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/ KOSMO!

Tarik bakat Malaysia di luar negara, tawar gaji setanding

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan kini menumpukan usaha bagi menarik semula warga Malaysia yang bekerja di luar negara dengan menawarkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan gaji yang setanding.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada strategi membina industri bernilai tinggi di negara ini, selain meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Ini bukan isu gaji minimum, ini berkaitan highly skilled job (kemahiran tinggi), highly trained job (latihan khusus). Kos hidup mereka pun lebih tinggi (di luar negara) daripada kita jadi memang gaji mereka akan lebih tinggi.

“Tetapi memang kami ambil beberapa langkah untuk memperbaiki keadaan untuk melatih dan membawa bakat balik ke Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), Wong Shu Qi berkata, pihaknya berperanan memastikan graduan dan pekerja berkemahiran tinggi yang pulang ke tanah air mendapat latihan secara relevan sebelum diambil bekerja oleh syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa yang beroperasi di Malaysia.

“Talent kita di luar negara akan kembali ke Malaysia apabila peluangnya tiba. Kami tidak memaksa mereka, tetapi memberi insentif yang menarik untuk pulang termasuk gaji kompetitif,” katanya.

Beliau menambah, dengan meningkatkan produktiviti serta mempermudah urusan pelaburan melalui ‘ease of doing business’, lebih banyak pelabur asing dan tempatan dijangka membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi di Malaysia.

Beliau juga menekankan pentingnya menyediakan peluang kepada bakat kritikal yang diperlukan dalam sektor teknologi, digital dan industri berkemahiran tinggi supaya Malaysia kekal kompetitif berbanding negara jiran seperti Singapura dan Thailand.

“Peluang pekerjaan bukan sahaja ditentukan gaji semata-mata. Ia juga berkait dengan pembangunan kerjaya, peluang kembali kepada keluarga serta pengalaman dan kemahiran yang boleh dimanfaatkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI