PETALING JAYA – Pahit tetapi benar, pelakon Wanna Ali bersetuju dengan keluhan golongan wanita dalam mencari pasangan hidup masa kini yang semakin mencabar apatah lagi mentaliti lelaki sebagai ‘provider’ dilihat kian terhakis.
Ujar Wanna atau nama sebenarnya Norsyazwana Mohd Ali, 29, kewujudan lelaki ‘green flag’ semakin jarang ditemui, malah menjadi perbualan hangat dalam kalangan rakan-rakannya.
“Bagi saya, memang susah nak jumpa lelaki bermentaliti ‘provider’ sekarang. Lelaki baik bukan mustahil, tapi percayalah memang semakin sukar ditemui.
“Macam kawan-kawan apabila mencari pasangan, saya cuma mampu cakap, semoga berjaya sebab realitinya memang susah,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pun begitu, pelakon drama Setiaku Berdiri itu menegaskan wanita tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada lelaki, sebaliknya perlu membina kekuatan diri terlebih dahulu sebelum mengharapkan pasangan.
“Bagi saya, sebelum jumpa lelaki berduit, jaga diri sendiri dulu. Takkan nak tunggu lelaki kaya baru nak cantik.
“Kita kena jaga diri, berdikari dan yakin dengan diri sendiri. Cantik bukan sebab lelaki,” ujarnya.
Mengulas isu wanita mencari pasangan berkemampuan, anak kepada penerbit, Datuk Ayu Puteh itu berpendapat keinginan tersebut bukan sesuatu yang keterlaluan bahkan selari dengan tuntutan agama.
Malah, wanita berhak mengimpikan pasangan bertanggungjawab sekiranya mereka sendiri sudah membuktikan keupayaan mengurus hidup dan keluarga.
“Normal untuk perempuan cari seseorang yang boleh menjaga dan menyara. Dalam Islam pun jelas, lelaki bertanggungjawab sebagai penyedia.
“Tapi dalam masa sama, isteri juga perlu taat dan tahu peranan. Macam saya, saya jaga diri sendiri, jaga keluarga sendiri.
“Jadi saya rasa layak untuk ada pasangan yang menyara saya. Kalau berkahwin, takkan pula saya pula perlu menanggung lelaki, itu tak adil. Mujur saya dapat suami yang ‘green flag’,” luahnya.
Wanna turut mengakui, mentaliti sebegitu sering dipandang sinis oleh segelintir lelaki hingga wanita dilabel mata duitan.
“Bila perempuan cakap nak lelaki penyedia, ada pula bertanya, ‘apa awak boleh beri?’ Sedangkan tanggungjawab itu memang pada lelaki.
“Sebab itu saya cakap, perempuan kena berdikari dulu supaya orang nampak kita mampu urus diri,” jelasnya.
Sebelum ini, isu lelaki sebagai ‘provider’ hangat diperdebatkan dalam Threads apabila ada pihak menyifatkan ciri tersebut sebagai tanda ‘green flag’.
Namun pandangan itu menerima tentangan segelintir lelaki yang berpendapat wanita juga perlu menawarkan sesuatu demi keadilan dalam hubungan. – KOSMO! ONLINE.














