SEBERANG PERAI – Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang selepas didapati menyimpan 100 ekor kura-kura dan labi-labi tanpa lesen dalam satu serbuan di sebuah rumah di Bagan Lalang, di sini, kelmarin.
Pengarah Perhilitan negeri, Mohd. Zaide Mohamed Zin berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 4.45 petang itu dibuat hasil risikan selama hampir dua minggu.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek menyimpan 94 ekor kura-kura pelbagai spesies termasuk katup, kolam, Chinese Striped-Nosed dan Red-eared Slider serta enam ekor labi-labi biasa.
“Kesemua haiwan itu ditempatkan di dalam beberapa tong plastik dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah RM20,000,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bukit Mertajam, di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya percaya suspek telah lama terlibat dalam aktiviti berkenaan kerana bukan mudah untuk mengumpul sehingga 100 ekor kura-kura dan labi-labi dalam tempoh singkat.
“Tidak mustahil pengumpulan haiwan ini mengambil masa sehingga satu atau dua tahun. Kesemua haiwan eksotik tersebut dipercayai untuk dijual kepada rumah ibadat bagi tujuan upacara keagamaan dengan harga antara RM20 hingga RM200 seekor, bergantung kepada jenis dan saiz,” katanya.-KOSMO! ONLINE














