BANDAR RAYA NEW YORK – Bunyi dentingan gari kaki kedengaran beberapa saat sebelum pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro melangkah masuk ke dalam kamar mahkamah di Bandar Raya New York buat kali pertama, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Maduro kemudian memberitahu kumpulan wartawan dan orang awam yang memenuhi kamar mahkamah bahawa beliau baru saja diculik.
Beberapa minit selepas beliau masuk, Hakim Alvin Hellerstein meminta Maduro mengesahkan identitinya supaya perbicaraan dapat dimulakan.
“Saya, tuan, Nicolas Maduro. Saya Presiden Republik Venezuela dan saya berada di sini sebagai mangsa culik sejak 3 Januari (2026),” katanya kepada mahkamah dalam bahasa Sepanyol dengan nada tenang, sebelum jurubahasa menterjemahkan kata-kata itu kepada bahasa Inggeris untuk mahkamah.
“Saya ditangkap di rumah saya di Caracas, Venezuela,” tambahnya lagi.
Hakim berusia 92 tahun itu dengan pantas menyampuk dan memberitahu Maduro bahawa akan ada masa dan tempat untuk membincangkan semua perkara tersebut.
Semasa prosiding pendakwaan yang dramatik selama 40 minit pada petang semalam, Maduro dan isterinya, Cilia Flores mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dadah dan senjata.
“Saya tidak bersalah. Saya seorang lelaki yang baik,” kata Maduro manakala Flores turut berkata bahawa beliau juga sama sekali tidak bersalah.
Maduro yang berusia 63 tahun dan isterinya dipindahkan ke sebuah penjara di New York selepas kedua-duanya ditahan oleh pasukan Amerika Syarikat (AS) di kompleks kediaman mereka di Venezuela pada Sabtu lalu.
Ia adalah sebagai sebahagian daripada operasi mengejut pada waktu malam yang turut menyaksikan serangan ke atas pangkalan tentera negara itu.
Memakai baju penjara berwarna biru dan oren serta seluar khaki, kedua-duanya memakai fon kepala untuk mendengar terjemahan bahasa Sepanyol semasa perbicaraan dengan seorang peguam duduk di antara mereka.
Maduro mencatat nota dengan teliti pada pad undang-undang berwarna kuning yang dimintanya kepada hakim untuk disahkan bahawa beliau boleh menyimpannya selepas perbicaraan.
Apabila Maduro melangkah masuk ke kamar itu, beliau berpaling untuk mengangguk kepada beberapa orang yang hadir.
Beliau mengekalkan sikap tenang dan tanpa ekspresi sepanjang prosiding, termasuk pada penghujungnya, apabila seorang lelaki dari kawasan awam tiba-tiba menjerit bahawa Maduro akan ‘membayar’ kerana perbuatan jenayahnya.
“Saya seorang presiden dan tawanan perang,” jeritnya dalam bahasa Sepanyol ke arah lelaki tersebut yang kemudian diiring keluar dari bilik mahkamah dalam keadaan menangis.
Perbicaraan mahkamah seterusnya dalam kes ini dijadualkan pada 17 Mac ini. – AGENSI














