KUALA LANGAT – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) akan dibentangkan pada sidang Parlimen yang bermula 19 Januari ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, bagaimanapun ia tertakluk kepada aturan mesyuarat Parlimen.
“Saya serahkan kepada Jabatan Perdana Menteri dan kita akan susun ikut jadual. Memang untuk kita teruskan, ikut jadual sebagaimana ditetapkan Parlimen.
“Yang boleh saya terangkan kementerian ini sentiasa siap siaga namun hormat kepada agenda Parlimen,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis sentuhan kejayaan Jabatan Kerajaan Tempatan 2025 di Gerai Penjaja Sungai Jarom di sini.
Kor Ming turut menjelaskan bahawa pihaknya telah menerima segala maklum balas terhadap isu-isu berbangkit berkaitan PSB itu.
Untuk rekod, RUU PSB adalah undang-undang baharu yang digubal kerajaan, antara lain mengandungi peruntukan khas bagi melindungi hak dan kepentingan pemilik untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan hak pemilikan, serta proses dan prosedur pembaharuan semula bandar.
Bagaimanapun ia mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk daripada 68 ahli Parlimen blok pembangkang.
RUU PSB dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama oleh Kor Ming pada 21 Ogos tahun lalu. – KOSMO! ONLINE
Caption
Kor Ming pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis sentuhan kejayaan Jabatan Kerajaan Tempatan 2025 di Gerai Penjaja Sungai Jarom, Kuala Langat. FOTO: FARIZ RUSADIO














