IPOH – Seorang pemilik syarikat didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah menyimpan diesel melebihi had yang ditetapkan pada 8 Mac 2024.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu selepas Chin Wei Sin, 47, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di Ipoh hari ini.
Mengikut pertuduhan, beliau sebagai pemilik tunggal syarikat Vincent Chin Enterprise pada 8 Mac 2024 kira-kira pukul 9 pagi di dalam premis yang terletak di Kawasan Perindustrian Pengkalan 2, Pusing di Batu Gajah.
Wei Sin didapati gagal mematuhi syarat yang dinyatakan dalam permit barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel melebihi 5,940 liter melebihi permit yang ditetapkan iaitu 2,000 liter.
Bagi kesalahan itu, Wei Sin didakwa mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin memohon hukuman setimpal dikenakan atas faktor kepentingan awam serta sebagai peringatan jelas kepada semua pemegang lesen barang kawalan runcit.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM15,000 atau penjara selama lapan bulan sekiranya gagal membayar. Dia menjelaskan denda tersebut. – KOSMO! ONLINE














