PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran melibatkan enam pegawai kanan yang berkuat kuasa pada 9 Februari ini.
Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Abdul Rahman Kassim berkata, pertukaran itu membabitkan beberapa jawatan utama di Bukit Aman dan kontinjen negeri.
Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).
Jawatan beliau digantikan oleh Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali yang sebelum ini mengetuai Pasukan Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara (KPN).
Pengarah JPJKK, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad pula akan bertukar ke Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan), Urus Setia Pejabat KPN.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkifli Suhaili dipindahkan sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak dan akan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).
Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Sarawak, Asisten Komisioner Roselina Daud dilantik sebagai Ketua JPJKK Sarawak dengan memangku pangkat SAC.
Selain itu, Ketua Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Maktab Teknik PDRM Bakri, Johor, Asisten Komisioner Pozlan Ibrahim ditukarkan sebagai Ketua Penolong Pengarah (Agama dan Kaunseling), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, sambil memangku pangkat SAC. – KOSMO! ONLINE














