PUTRAJAYA- Platform MyDigital ID akan digunakan sebagai log masuk tunggal bagi warga Malaysia yang menggunakan aplikasi mudah alih Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) untuk melalui pintu masuk negara bermula 15 Januari depan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan berkata, ia berfungsi untuk mengesahkan identiti pengguna secara tepat dan selamat melalui pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tanpa menyimpan data peribadi pengguna.
Menurutnya, pendekatan ini meningkatkan keselamatan transaksi digital serta memudahkan pengalaman pengguna melalui satu log masuk tunggal tanpa perlu mengingati pelbagai kata laluan.
“Warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas adalah disarankan untuk memuat turun dan mendaftarkan diri ke aplikasi MyDigital ID sebelum menggunakan MyNIISe.
“Bagi pengguna warganegara asing, kaedah log masuk sedia ada ke aplikasi MyNIISe akan terus digunakan tanpa sebarang perubahan,” katanya hari ini.
KDN berkata, aplikasi MyNIISe ini telah mula digunakan bermula 22 September 2025 untuk memasuki pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor Bahru, Johor.
Katanya, aplikasi ini akan diperluaskan secara berperingkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA Terminal 1 dan 2; Bayan Lepas, Kuching dan Kota Kinabalu.
“Sehingga 30 Disember 2025, MyNIISe telah mencatatkan 599,967 muat turun dengan 287,258 pengguna berdaftar.
“Pelaksanaan MyDigital ID dalam MyNIISe mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memodenkan perkhidmatan awam melalui pendigitalan yang selamat, cekap dan berfokuskan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














