fbpx
AHMAD MUSTAFA (kanan) menunjukkan musang king yang dijual digerainya di Kampung Damak, Jerantut.

Musang king dah naik harga, black thorn turun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tidak sampai dua minggu, harga musang king di beberapa lokasi popular me­ngalami sedikit kenaikan antara RM4 hingga RM10 sekilogram (kg) bergantung kepada gred bermula minggu lalu.

Kenaikan itu didorong oleh bekalan yang semakin berkura­ngan manakala permintaan daripada penggemar raja buah itu semakin tinggi terutamanya menjelang hujung musim.

Bagaimanapun harga black thorn atau duri hitam pula me­nyaksikan penurunan apabila buah premium itu dijual pada harga antara RM14 hingga RM25 sekilogram.

Di Ipoh, seorang peniaga, Mohd. Razak Mohd. Idris, 41, berkata, harga musang king dinaikkan sejak minggu lalu kerana bekalan yang diperolehnya dari Raub, Pahang semakin berku­rangan.

“Sebelum ini memang saya jual sekitar RM14.90 per kg namun menjelang hujung cuti sekolah ini, permintaan makin tinggi terutamanya dalam kalangan pengunjung ke bahagian Perak Utara seperti Parit Buntar.

“Disebabkan bekalan semakin kurang dan permintaan kekal tinggi, harga itu terpaksa dinaik­kan. Sebagai contoh, musang king gred A kini berharga RM25 per kg,” katanya kepada Kosmo!

Pada masa sama, Mohd. Razak berkata, musang king gred B dan C masing-masing dijual pada harga RM20 dan RM18 per kg dengan kenaikan itu adalah kelaziman dalam kalangan peniaga menje­lang penghujung musim.

Di Jerantut, peraih durian, Ahmad Mustafa, 47, berkata, pada masa ini buah gred B yang sebelum ini dijualnya dengan harga kira-kira RM18 kini dijual dengan harga RM30 per kg.

Katanya, sebelum ini musang king pernah dilelong serendah RM3 per kg manakala secara purata musang king baby dijual dengan harga serendah RM10 per kg.

“Pada masa ini, buah semakin berkualiti dan dapat dijual de­ngan harga yang semakin baik. Penurunan harga musang king sebelum ini berpunca daripada kualiti buah yang kurang elok termasuk akibat penyakit belang harimau,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Mohd. Azmy Noh, 35, berkata, biarpun harga musang king naik, ia masih mendapat sambutan menggalakkan kerana rata-rata yang membeli terdiri daripada golongan berkemam­puan dan jarang ada tawar-menawar dengan pelanggannya.

“Kita telah maklumkan kepada mereka bahawa buah ini akan naik harga pada hujung Disember, jadi mereka tidaklah terkejut apabila melihat harganya ketika ini iaitu kira-kira RM25 per kg,” katanya.

Tambahnya, selain musang king, peminat durian masih mempunyai pilihan seperti durian kampung yang boleh dibeli pada harga sekitar RM5 hingga RM7 per kg.

Dalam pada itu, peraih di Raub, Tengku Kamarul Baharudin Tengku Kamarul Zaman, 65, berkata, harga duri hitam ketika ini dijual dengan harga berpatutan antara RM14 hingga RM30 sekilogram sekali gus memboleh­kan penggemar raja buah itu menikmati durian premium.

Di Rembau, wakil penjual Kedai Adi Durian di Sungai Layang di sini, Nurshazryn Elyssa Mohd. Nordin, 23, berkata, harga duri hitam dijual RM25 per kg berbanding sebelum ini sehingga RM60 hingga RM86 per kg membuatkan kedainya menjadi tumpuan penggemar raja buah 24 jam.

“Disebabkan penangan harga runtuh pada tahun ini kami menawarkan khidmat jualan durian tanpa henti selama 24 jam. Uniknya pada pukul 3 pagi juga ada yang berhenti untuk makan durian di sini.

“Kebanyakkan yang berhenti adalah pemandu lori dan mereka boleh memilih makan durian kampung serendah RM2 hingga RM8 atau durian premium antara RM25 hingga RM35.

“Macam musim kali ini, kami jual durian kampung dari Rembau iaitu durian Miku atau durian bukit yang sudah terkenal de­ngan kesedapannya.
Bagi musim terbaharu ini, mereka mampu menjual sekitar dua tan durian setiap hari,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN