JURANG kualiti antara pasukan Selangor FC dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat semakin mengecil selepas Gergasi Merah hanya tewas 0-2 kepada seteru tradisi pada aksi Liga Super di Stadium MB Petaling Jaya, kelmarin.
Pandangan itu disuarakan oleh pengarah teknikal pasukan, Christophe Gamel yang melihat kedua-dua pasukan hanya dibezakan dengan kualiti yang sedikit berbanding keputusan yang diraih sebelum ini.
Menurut Gamel, pujian wajar diberikan kepada anak-anak buahnya yang bekerja keras sepanjang perlawanan apabila tidak memberi laluan mudah buat Harimau Selatan beraksi seperti biasa.
“Seperti yang saya jangka, perlawanan ini jadi sebagai kayu ukur buat kemampuan pasukan musim ini. Secara peribadi, saya rasa jurang kualiti antara kedua-dua pasukan semakin mengecil.
“Ketika kita berjaya kawal bola, pasukan dapat melakukan transisi dengan baik berbanding sebelum ini dan apa yang membezakan adalah pemain sendiri kena yakin dengan keupayaan masing-masing,” kata Gamel yang telah dinaikkan pangkat selepas menjadi jurulatih interim sebelum ini. – KOSMO! ONLINE














