JAKARTA – Pejabat Pertanian daerah Cirebon, wilayah Jawa Barat menyatakan rasa terkejut dengan kemunculan ladang kelapa sawit di Kampung Cigobang yang tidak diketahui asal-usulnya, lapor laman berita Tribunnews.
Ini kerana kawasan tersebut sebelum ini dikenal pasti sebagai kawasan hutan dan sumber air.
Ketua Bagian Hortikultur dan Perkebunan Pejabat Pertanian Daerah Cirebon, Durahman berkata, pejabatnya belum pasti tentang kronologi awal penanaman kelapa sawit tersebut.
“Kami juga terkejut kerana tiba-tiba sahaja terdapat ladang kelapa sawit di tanah seluas kira-kira 6.5 hektar di Kampung Cigobang,” kata Durahman.
Beliau menekankan bahawa kelapa sawit bukanlah komoditi strategik mahupun utama di daerah tersebut.
Setakat ini, pembangunan sektor perladangan di rantau itu lebih tertumpu kepada komoditi yang sesuai dengan keadaan agroekologi tempatan serta kapasiti daya tampung alam sekitar.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa daerah dan bandar diminta untuk menginventori dan memetakan semua ladang kelapa sawit di kawasan masing-masing, serta memberikan panduan dan bantuan kepada petani dan perniagaan perladangan.
“Minggu depan, kami akan menjalankan inventori semula ladang kelapa sawit di Kampung Cigobang.
“Kami juga akan menyediakan bantuan supaya kelapa sawit dapat digantikan dengan varieti tanaman komoditi lain yang sesuai dengan agroekologi dan komoditi utama rantau ini,” katanya. – AGENSI














