KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merampas pelbagai barangan larangan dan bersyarat membabitkan dua kes berasingan, termasuk lebih 18,000 unit alat mainan dewasa serta ratusan kenderaan mikromobiliti disyaki diimport tanpa permit sah.
Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, dalam operasi pada 30 September lalu, pasukan penguatkuasaan menyerbu sebuah premis di Taman Perindustrian Putra Puchong, Selangor selepas menerima maklumat awam.
Menurutnya, pemeriksaan menemukan 18,140 unit ‘adult toys’ meliputi lebih 30 jenis dan 20 jenama dengan anggaran nilai RM800,000 disimpan di dalam premis berkenaan.
“Barang-barang ini diklasifikasikan sebagai Barang Larangan Mutlak di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Seorang lelaki tempatan telah ditahan dan siasatan masih dijalankan,” katanya hari ini.
Dalam kes kedua, Wan Norizan berkata, pihaknya menahan sebuah kontena dari Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 20 November lalu selepas risikan mendapati ia membawa dagangan mikromobiliti disyaki tidak berkastam.
Jelasnya, pemeriksaan ke atas kontena itu menemukan 373 unit kenderaan melibatkan moped berkapasiti 49cc dan skuter elektrik pelbagai jenis dengan nilai anggaran RM154,626, manakala cukai dianggarkan RM93,940.
“Siasatan awal mendapati dagangan dibawa masuk dalam bentuk komponen terlerai dari China sebelum dipasang di dalam negara.
“Barangan ini tergolong sebagai larangan bersyarat dan memerlukan kelulusan serta permit import daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” ujarnya.
Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tak berkastam dan larangan import.
Wan Norizan menjelaskan, modus operandi yang dikesan termasuk menyimpan barangan larangan di kawasan perindustrian serta membuat pengikraran palsu pada borang kastam bagi mengelak keperluan permit. – KOSMO! ONLINE














