SEBUT sahaja sambutan tahun baharu, kebanyakan orang membayangkan lautan manusia, peluh yang mengalir dan aliran trafik yang perlahan. Namun, pengalaman itu berbeza buat mereka yang menghadiri konsert Nostalgia New Year’s Eve yang berlangsung pada 31 Disember baru-baru ini.
Menghimpunkan persembahan istimewa pasangan selebriti Syamel dan Ernie Zakri serta sentuhan muzik DJ Fuzz, konsert tersebut menjadi pelengkap malam ambang Tahun Baharu yang diraikan dalam suasana eksklusif dan penuh keintiman.
Dengan sokongan daripada Universal Music Malaysia dan Le Méridien Petaling Jaya, konsert diadakan secara tertutup sekali gus menawarkan pengalaman yang lebih tenang, selesa dan jauh daripada hiruk-pikuk kebiasaan.
Syamel atau nama lengkapnya Syameel Aqmal Mohd. Fodzly mengakui teruja dapat merasai sendiri pengalaman menyambut tahun baharu secara ‘indoor’ buat pertama kali, apatah lagi berkongsi pentas bersama insan tersayang.
“Kami tak pernah ada pengalaman yang buat sambutan tahun baharu ‘indoor’ tapi alhamdulillah terjadinya majlis penting ini dan dapat sokongan daripada semua pihak.
“Saya tengok masing-masing berseronok dengan persembahan dan paling penting sekali pertama kali kami merasa menyanyi dalam suasana yang sangat tenang, nyaman dan selesa.
“Bila cerita fasal sambutan tahun baharu, selalunya akan sesak tapi sebenarnya itu pun sebahagian daripada sambutan juga,” katanya selepas menghiburkan peminat.
Tambah penyanyi berusia 33 tahun itu, sambutan sama ada di ruang terbuka mahupun tertutup masing-masing memiliki keistimewaan tersendiri.
“Secara terbuka sebenarnya seronok. Bersesak, jem (aliran trafik sesak) dan berpeluh-peluh itu bukan negatif tetapi perasaan yang seronok untuk tahun baharu.
“Tetapi bila ‘indoor’ macam kali ini, lebih rapat bersama pengunjung dan peminat. Semua orang yang hadir dapat ‘solid timing’ dengan kami.
“Kami pun berpuas hati bersama dengan mereka. Dua-dua sambutan pun seronok,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Syamel turut menjelaskan mengenai penganjuran konsert berbayar yang menerima pelbagai reaksi sebelum acara berlangsung.
“Sebenarnya bila cerita fasal sambutan tahun baharu, kita sering disajikan dengan sambutan yang tidak memerlukan wang ringgit tapi bila ada sambutan sebegini, yang sediakan tempat selesa, makanan seronok, suasana nyaman, dia memerlukan jualan meja.
“Ramai juga yang buat aduan kenapa berbayar, tapi mereka yang dah datang saya hargai kehadiran mereka.
“Mereka sanggup bangun dan nyanyi bersama-sama, pergi ke depan demi menjayakan program ini,” jelas pelantun lagu Hamba Cinta itu.
Kelas vokal
Sementara itu, pemilik nama lengkap Nur Ernie Shahirah Zakri sempat berkongsi azam untuk tahun ini.
“Saya adalah seorang yang lebih ‘go with the flow’ tetapi perancangan bersama pihak Universal Music banyak.
“Azam saya rasa hanya ingin membuat yang terbaik sebab banyak sangat projek tahun ini yang saya dah lakukan.
“Saya hanya berdoa agar segala projek-projek yang saya rancang bersama dengan label dapat dilancarkan tahun ini. Banyak lagu-lagu, projek-projek baru yang seronok untuk semua peminat,” ujar penjulang trofi Bintang Paling Popular ke-37 itu.
Ditanya mengenai kesediaan membuka kelas vokal, pelantun lagu Masing-Masing itu mengakui belum bersedia dan masih mahu menimba ilmu.
“Kalau ada adik-adik nak datang borak kita okey, tapi untuk buka kelas mungkin belum lagi. Kita pun banyak lagi benda kena belajar,” katanya yang sebelum ini pernah bergelar guru vokal sebelum mengecap populariti.














