fbpx
Ramanan (dua, kiri) ketika mengadakan lawatan Ramanan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat TalentCorp, Menara Surian, Petaling Jaya hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/ KOSMO!

Insentif RM2,000 mudahkan PKS ambil pelatih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan memperkenalkan pembayaran pendahuluan RM2,000 bagi setiap pelatih kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memudahkan pengambilan tenaga kerja muda serta menampung kos latihan pada peringkat awal.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, insentif itu dibuat menerusi penambahbaikan Geran Padanan Latihan Industri Kecil dan Sederhana (LiKES).

“Program ini menggunakan konsep bayar dan tuntut semula. Pelaksanaan pembayaran pendahuluan RM2,000 ini akan bermula 1 Mac ini dan syarikat boleh menerima bayaran dalam tempoh 14 hari bekerja.

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada pematuhan syarat serta dokumen lengkap yang ditetapkan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp),” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Ramanan memaklumkan, program berkenaan melibatkan peruntukan RM30 juta bagi tempoh tiga tahun dan dijangka memberi manfaat kepada 25,000 pelatih tempatan.

Selain itu, katanya, MyMahir Future Skills Talent Council (FSTC) turut memperkenalkan pendekatan berasaskan industri, di mana keperluan kemahiran ditentukan oleh pihak industri sendiri bagi memastikan latihan benar-benar membuka peluang pekerjaan.

“Rangka kerja ini diiktiraf Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan terbukti mengurangkan ketidakpadanan kemahiran serta meningkatkan gaji permulaan peserta.

“Syarikat yang mencalonkan pelatih juga akan menjadi pihak yang menyerap mereka semula selepas latihan. Ini bukan sekadar latihan, tetapi laluan terus kepada pekerjaan,” jelasnya.

Beliau menambah, inisiatif ini selari dengan komitmen Kementerian Sumber Manusia untuk memperkukuh ekosistem bakat negara dan menggalakkan golongan belia merebut peluang latihan berasaskan industri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI