PETALING JAYA – “Kita tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama bagi kali yang kedua di tempat yang sama,” itu kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.l berhubung gesaan supaya parti itu menjalin kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang buat masa ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’ khususnya dalam hubungan politik.
Menurutnya, UMNO tidak mahu dikhianati oleh pihak yang sama dan tidak mahu episod itu berulang kembali.
“Kita tidak mahu bernostalgia menggunakan apa-apa nama yang pernah dicadangkan dahulu dan kita belum memutamadkannya lagi.
“Itu sebabnya perincian penting kerana kita tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama bagi kali yang kedua di tempat yang sama,” katanya ketika diminta mengulas mengenai desakan supaya UMNO dan PAS menghidupkan semula kerjasama di bawah payung Muafakat Nasional (MN).
Ahmad Zahid memaklumkan, UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.- KOSMO! ONLINE














