PETALING JAYA – Penyedia perkhidmatan e-hailing tempatan, GV Ride, mengumumkan tawaran sifar peratus komisen (tiada caj platform) kepada semua pemandunya sempena sambutan Tahun Baharu 2026.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kabeer Maand berkata, melalui inisiatif ini, tiada sebarang potongan komisen dibuat oleh platform dan pemandu dapat menyimpan 100 peratus tambang bersih bagi setiap perjalanan yang diselesaikan.
“Inisiatif sifar peratus komisen ini bertujuan untuk meringankan beban pemandu dan dapat membantu mereka menjana pendapatan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Kabeer, langkah tersebut mencerminkan komitmen GV Ride dalam menyokong kebajikan pemandu tempatan serta membina ekosistem e-hailing yang lebih adil dan mampan.
“Kami mengalu-alukan lebih ramai pemandu untuk menyertai GV Ride serta mengajak pengguna mencuba perkhidmatan kami. Pelbagai promosi dan inisiatif menarik akan diperkenalkan dari semasa ke semasa,” tambahnya.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa GV Ride akan terus melaksanakan aktiviti berasaskan komuniti sebagai usaha mendekatkan platform dengan rakyat serta menyokong pembangunan komuniti setempat.
GV Ride merupakan antara platform e-hailing tempatan yang aktif berkembang dengan fokus utama terhadap pendapatan pemandu, kebajikan komuniti, dan sokongan kepada ekonomi tempatan. -KOSMO! ONLINE














