GEORGE TOWN – Dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) musnah dalam satu kejadian kebakaran di tempat letak kereta Miami Green Condominium Complex, Jalan Pantai Miami, Tanjung Bungah, di sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran berlaku pada pukul 3.56 petang sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, kebakaran melibatkan dua buah kenderaan yang diletakkan secara bersebelahan di kawasan parkir kondominium berkenaan.
”Kebakaran membabitkan sebuah MPV jenis Toyota Estima dengan anggaran kemusnahan kira-kira 60 peratus, manakala sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Veloz mengalami bahangan haba dengan anggaran kemusnahan sekitar 20 peratus,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, pasukan bomba segera melakukan ‘size up’ dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum menjalankan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman kebakaran.
”Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 4.08 petang dan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 4.40 petang.
”Kerja-kerja ‘overhaul’ turut dijalankan bagi memastikan tiada sisa kebakaran yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.
Tambahnya, seramai enam anggota termasuk seorang penyelia terlibat dalam operasi pemadaman dengan menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Bagan Jermal.
”Tiada mangsa dilaporkan terlibat atau cedera. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi bagi membantu kawalan keselamatan.
”Kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) JBPM untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran,” katanya. -KOSMO! ONLINE














