ALOR SETAR – Siasatan terhadap dakwaan tular mengenai sebuah kenderaan asing yang dikatakan menukar nombor pendaftaran menyerupai Malaysia bagi mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di negeri ini mendapati maklumat tersebut tidak benar.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, hasil pemeriksaan dan siasatan lanjut mendapati kenderaan berkenaan mengisi petrol RON97.
“Kenderaan bernombor pendaftaran asing itu didakwa menggunakan taktik menggantikan nombor plat kepada plat yang kelihatan seperti nombor pendaftaran Malaysia bagi mengelak dikesan.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) stesen minyak mendapati kenderaan itu tidak membuat pengisian petrol RON95, sebaliknya mengisi RON97,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pemandu terbabit mengisi 25.02 liter petrol RON97 bernilai RM79.06 dengan pembayaran menggunakan kad visa.
Menurut beliau, pihak KPDN telah mengeluarkan arahan larangan dan kawalan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan asing pada 29 April tahun lalu.
Sementara itu, beberapa gambar dan video tular di media sosial memaparkan sebuah kereta didakwa menggunakan nombor plat dengan fon Malaysia untuk menyamar sebagai nombor pendaftaran dari Sabah bagi mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Changlun, dekat sini pada pukul 11.16 malam, 3 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE














