BATU PAHAT – Usaha pencarian dua orang nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar menjaring pada Jumaat lalu masih tidak menunjukkan sebarang tanda penemuan walaupun telah memasuki hari ke tiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, sektor pencarian yang diperluaskan meliputi kawasan seluas 207 batu nautika persegi bermula pukul 7.00 pagi sebelum ditangguhkan pada lewat petang semalam masih gagal mengesan kedua-dua mangsa itu.
Katanya, operasi tertumpu di sekitar posisi terakhir mangsa dilaporkan jatuh ke laut dan turut melibatkan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa bot nelayan tempatan.
“Dua nelayan tempatan iaitu Mohd Fadzli, 41, hilang bersama-sama rakannya Mohd Saiful Azli Ahmad, 45, selepas turun ke laut pada jam 6 petang Jumaat.
“Kehilangan dua rakan itu disedari penduduk yang menemukan bot dinaiki mereka pada pagi Sabtu bersama-sama joran dan juga bubu sebelum gerakan SAR digerakkan pada pukul 3.45 petang Sabtu,”katanya melalui kenyataan. – KOSMO!ONLINE














