SUNGAI PETANI – Seorang pengawal keselamatan merupakan antara tiga lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes memecah masuk kedai menjual telefon bimbit di Taman Cendana, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan selepas polis mendapati keterangan yang diberi semasa membuat laporan mengenai kejadian mencurigakan.
“Selepas menahan suspek yang baru setahun bertugas di premis berkenaan, kita menahan dua lagi lelaki berusia antara 17 hingga 40 tahun, selain sedang menjejaki dua lagi suspek.
“Keterangan yang diberikan oleh pengawal keselamatan itu mencurigakan apabila semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) premis mendapati dia tidak bercakap benar,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut untuk mengenal pasti penglibatan suspek dalam kejadian itu yang membabitkan kerugian lebih RM20,000.
“Kita sedang menjejaki dua lagi suspek dan dua kenderaan yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu. Setakat ini pihak polis belum menemui barang yang dilarikan,” ujarnya.
Tambahnya, semua suspek direman selama seminggu bermula hari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah premis. – KOSMO! ONLINE














