KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-31, Jeneral Datuk Azhan Md Othman di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat Malaysia dalam kenyataan berkata, latar belakang kepimpinan serta pengalaman luas Azhan diyakini mampu memastikan kesinambungan kepimpinan Tentera Darat Malaysia, selain memperkukuh tahap kesiapsiagaan pasukan sebagai teras utama pertahanan negara.
“Aspek integriti, tadbir urus yang telus serta pembudayaan nilai-nilai ketenteraan yang luhur akan terus diperkukuh sebagai teras kepimpinan beliau, selari dengan pelaksanaan inisiatif strategik Angkatan Masa Hadapan – Strategi Domain Daratan (AMH–SD2) yang mendokong aspirasi Kertas Putih Pertahanan.
“Selain itu, agenda kesejahteraan anggota dan keluarga Tentera Darat akan terus dilestarikan bagi memastikan kebajikan warga pasukan sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menerusi kenyataan sama, PTD Ke-31 dengan penuh hormat takzim menyembah ucapan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas kepercayaan yang diberikan.
“Justeru, PTD Ke-31 menyeru seluruh warga Tentera Darat Malaysia agar menyatukan tekad, memperkukuh perpaduan dan meningkatkan prestasi supaya Tentera Darat terus mara sebagai angkatan pertahanan yang profesional, berkeupayaan dan diyakini rakyat,” menurut kenyataan itu.
Azhan dilantik sebagai PTD Ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lalu selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera Ke-631 pada 19 November lepas, serta telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 1 Disember lalu.
Dilahirkan di Muar, Johor pada 4 September 1969, Azhan memulakan kerjaya ketenteraan selepas mengikuti Latihan Pegawai Kadet di Sungai Besi pada 1987 sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Rejimen Askar Melayu Diraja pada 29 Julai 1989.
Sepanjang perkhidmatan, beliau memegang pelbagai jawatan penting di peringkat Tentera Darat Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia yang membentuk kepimpinan serta profesionalisme ketenteraannya, termasuk sebagai Pegawai Memerintah Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja, Komander Batalion Siap Sedia Tentera Darat, Komander MALBATT 850-6 dan Panglima Ke-2 Divisyen Infantri Malaysia. – KOSMO! ONLINE














