PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan kesembuhan segera buat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Anwar yang kini dalam lawatan rasmi ke Turkiye berkata, beliau dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendoakan keafiatan buat Dr. Mahathir.
“Saya dan Azizah (Wan Azizah) mendoakan keafiatan dan kesembuhan segera buat Tun, Insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Dr. Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara kira-kira pukul 9.30 pagi ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd. Radzi Jidin menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
“Tun Dr. Mahathir Mohamad dimasukkan ke IJN sekitar 9.30 pagi tadi selepas terjatuh di kediaman. Sama-sama kita doakan kesihatan beliau,” katanya.
Perkara tersebut turut disahkan oleh Setiausaha Akhbar bekas Perdana Menteri itu, Suffi Yusoff kepada pihak media hari ini.
Beliau dipetik berkata, pemimpin berusia 100 tahun itu dikejarkan ke IJN oleh ambulans dan dilaporkan dalam keadaan sedar.
“Ya beliau dimasukkan ke IJN akibat terjatuh dan kini masih dalam proses pemantauan secara keseluruhan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














