KOTA BHARU – Seorang bapa menunaikan hasrat anak ketujuhnya, Allahyarham Amirrulmukminin Mohd. Zain, 27, untuk mendermakan organ.
Amirrulmukminin yang terlibat dalam nahas di Lebuh Raya Pantai Timur 2, Kemaman dekat Terengganu kira-kira pukul 7 pagi pada 25 Disember lalu meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas lapan hari bertarung nyawa.
Mohd. Zain Daud, 64, berkata, hasrat arwah sudah ditunaikan dan berharap pendermaan organ itu menjadi amalan yang menjadi saham akhirat buatnya.
Katanya, selepas lapan hari bertarung nyawa di Hospital Kemaman, doktor mengesahkan anaknya itu mengalami situasi mati otak.
“Arwah kemudian menjalani pembedahan derma organnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada Sabtu lalu.
“Hanya bahagian mata, tulang dan buah pinggang Amirrulmukminin yang sesuai untuk didermakan.
“Semoga ia menjadi amal jariah dan saham buat arwah di akhirat kelak,” katanya ketika ditemui pemberita di Perumahan Desa Darulnaim, Pasir Tumboh di sini semalam.
Mohd. Zain yang merupakan pesara polis berkata, sebagai bapa, dia reda dan seluruh ahli sekeluarga sepakat menunaikan permintaan Allahyarham.
Menurutnya, hasrat murni Amirrulmukminin hanya diketahui selepas salah seorang kakak arwah menjumpai kad ikrar penderma organ di dalam dompetnya.
“Ahli keluarga membuat pemeriksaan sebelum mendapati ada kad tersebut di dalam dompetnya.
“Allahyarham Amirrulmukminin pernah menyuarakan hasrat itu semasa mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara Seri Iskandar, Perak.
“Kami pada awalnya ingat ia satu gurauan dan tidak sangka ikrar tersebut benar,’’ kata beliau.
Dalam pada itu, pihak HSNZ memaklumkan buah pinggang arwah sudah ada penerimanya dan akan penerima akan segera menjalani pembedahan.
Sementara itu, kakak kepada arwah, Annurfatinah, 31, berkata, keluarganya terharu melihat penghormatan terakhir yang telah dibuat oleh kakitangan hospital HSNZ kepada arwah sehingga video dimuat naik tular di media sosial.
Video berdurasi 1 minit 12 saat yang memaparkan warga HSNZ berbaris panjang memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Amirrulmukminin selepas dia mendermakan organ.














