fbpx
Antara pengarah syarikat yang direman SPRM hari ini.

17 pengarah syarikat direman disyaki terlibat rasuah perolehan Tentera Darat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 17 pengarah syarikat kerana disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat.

Perintah reman selama lima hari sehingga 10 Januari terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

SPRM menyatakan kesemua suspek yang terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 60-an telah ditahan di antara pukul 8.30 hingga 11.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki membayar wang rasuah kepada pegawai kanan Tentera Darat sebagai balasan untuk mendapatkan projek-projek pembekalan dan penyelenggaraan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan memulakan siasatan terhadap 26 buah syarikat di sekitar Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang yang disyaki terlibat dalam tender perolehan Tentera Darat.

SPRM pada 23 Disember tahun lalu telah hadir ke Kementerian Pertahanan (Mindef) dan menyiasat projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

SPRM turut menjalankan operasi penggeledahan di kediaman rasmi pegawai kanan Tentera Darat dan menyita beberapa barangan mewah bernilai tinggi termasuk jam tangan dan beg tangan mewah yang dipercayai berkait dengan siasatan.

Bagaimanapun, pegawai kanan Tentera Darat yang disyaki sebagai suspek utama masih belum memberi keterangan selepas dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak 29 Disember lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan tersebut yang dijalankan mengikut Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI