JAGUH perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mendedahkan dia mungkin tidak akan turun bersaing di Terbuka Malaysia minggu ini sekiranya memilih untuk menjalani prosedur pembedahan bagi merawat kecederaan belakang yang dialaminya, tahun lalu.
Zii Jia yang kini menghuni ranking No. 144 dunia itu menjelaskan terdapat doktor pakar yang mencadangkan supaya dia menjalani pembedahan, namun keputusan itu tidak menjadi pilihan utamanya kerana bimbang tempoh pemulihan yang lebih panjang serta risiko kesan sampingan.
“Nasib baik tidak perlu sampai ke tahap pembedahan. Jika saya laluinya, saya rasa anda semua tidak akan nampak saya di sini lagi. Mungkin ia ambil masa terlalu lama untuk pulih atau saya sendiri tidak jamin kesannya kepada prestasi saya.
“Malah, saya pun tak jamin sebab pembedahan kita tak tahu apa kesannya. Benar, ada doktor cadangkan pembedahan, tetapi sejujurnya pembedahan tiada dalam perancangan saya kalau boleh. Sebab itu saya cuba cari dan dapatkan pendapat lain mengenai kecederaan belakang saya.
“Suka atau tidak saya perlu menjalani proses rehabilitasi sepenuhnya sepanjang tahun lalu. Ini adalah satu proses yang saya kena lalui untuk kembali pulih,” katanya ketika ditemui pada sesi uji gelanggang di Axiata Arena, semalam.
Pada musim 2025, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu hanya beraksi dalam lima kejohanan berikutan siri kecederaan yang menjejaskan momentumnya.
Dalam pada itu, Zii Jia menjelaskan kemunculannya ke Terbuka Malaysia satu keperluan mendesak dan perlu mengambil risiko memandangkan rankingnya mungkin jatuh ke angka tiga digit.
Lebih mencabar, status perlindungan ranking miliknya akan tamat pada Februari ini, memaksa Zii Jia membuat keputusan beraksi dalam empat kejohanan berturut-turut sepanjang Januari bagi memburu mata.
“Ranking saya sudah jatuh. Mahu atau tidak, saya kena keluar bertanding. Jika tidak, saya sendiri tidak tahu saya kena main di mana, mungkin kejohanan tahap rendah.
“Jadi saya rasa semua orang pun tahu saya akan bertanding dalam keempat-empat kejohanan pada bulan Januari ini. Memang sukar bagi saya, tapi ini macam satu ujian untuk saya sama ada saya cergas untuk kembali ke gelanggang.
“Sasaran utama saya tahun ini adalah kembali ke kelompok 20 atau 15 terbaik dunia kerana tahun depan kita pun tahu kelayakan Olimpik hampir bermula. Jadi, ini memang pelan dan sasaran sayalah,” jelas Zii Jia.














