PETALING JAYA – Penumpang Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang terkejut apabila kepulan asap memenuhi ruangan tren gara-gara bateri telefon salah seorang pengguna didakwa berasap dalam kejadian pagi tadi.
Menerusi perkongsian di Threads oleh @88darling, kepulan asap itu didapati keluar daripada telefon pengguna tersebut sehingga memenuhi koc tren sehingga mereka terpaksa berhenti di Stesen Semantan.
“Perjalanan pagi yang jadi kacau. Bateri telefon berasap dalam MRT dan semua orang terpaksa keluar di Stesen Semantan dan tunggu tren seterusnya. Tindakan segera dari krew MRT dan prosedur operasi standard (SOP) dijalankan dengan betul. Tiada panik,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-rata turut meluahkan rasa risau dengan situasi tersebut.
“Nasib baik tidak meletup. Sudahlah di dalam MRT, tempat tertutup. Syukur tidak jadi apa-apa,” kata Rusadiah.
“Nasib baik staf MRT bagus dan cekap dalam kendalikan masalah begini,” komen Steven Tan.
“Dah cakap jangan beli telefon tiruan, degil. Kan dah berasap,” kata Apieceofart. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














