fbpx
Tangkap layar perbualan WhatsApp yang dikongsikan pengguna Threads, @amrulbukanamirul.

Tuan rumah belanja duit sewa sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sepasang suami isteri yang bakal menimang cahaya mata menerima kejutan manis apabila pemilik rumah mereka memutuskan untuk mengecualikan bayaran sewa selama sebulan.

Perkongsian pengguna Threads, @amrulbukanamirul, mendedahkan bahawa tindakan bermurah hati tuan rumah itu adalah hadiah istimewa menjelang kelahiran anak mereka.

“Penutup 2025. Alhamdulillah. Dikelilingi orang yang baik-baik juga satu rezeki yang tak boleh dilepas pandang. Alhamdulillah ya Allah,” tulisnya.

Menerusi tangkap layar perbulan antara dia dan tuan rumah dikenali Syed, lelaki itu pada awalnya memaklumkan isterinya semakin hampir dengan tarikh jangkaan bersalin.

“Semakin hampir dah bang, due (tarikh) hospital 26 haribulan. Tapi rasanya awal. Petanda-petanda dah ada,” katanya.

“Sempena kelahiran anak yang bakal tiba, tiada sewa rumah untuk bulan depan. Bulan depan sahaja tau. Mesti banyak duit nak pakai,” balas pemilik rumah.

Perkongsian lelaki itu mendapat lebih 14,000 tanda suka dan pelbagai komen ditinggalkan orang ramai.

“Bagusnya tuan rumah. Besar jiwanya. Semoga masing-masing dimurahkan rezeki kaya raya dunia akhirat,” kata @Itsme.eda93.

“Tuan rumah dari syurga dan faham agama. Sedekah tak akan mengurangi harta kita,” kata @Yatqieszaine.

“Wah baiknya tuan rumah,” puji Ainabiebz.

Sementara itu, lelaki tersebut tersentuh membaca setiap komen orang ramai selain turut memuji kebaikan pemilik rumah.

“Wah meletup, terharu sangat baca doa-doa semua. Terima kasih semua atas doa-doa kalian. Insya-Allah semoga doa baik kalian semua berbalik pada semua. Selamat tahun baharu.

“Nanti saya sampaikan dekat tuan rumah juga. Dia tak tahu nama dia naik ni,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN