WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak menolak kemungkinan untuk melancarkan siri serangan seterusnya ke atas Venezuela selepas serangan pertama yang menggulingkan Presiden Nicolas Maduro, lapor saluran berita ABC News kelmarin.
Menurut beliau, AS bersedia melancarkan serangan lebih kuat sekiranya perlu, namun mengakui tidak akan bertindak demikian buat masa ini.
“Serangan pertama amat berjaya. Kita mungkin tidak memerlukan serangan seterusnya, namun kami bersedia untuk gelombang kedua,” katanya.
Dalam temu bual dengan sebuah stesen televisyen kelmarin, Trump memberi amaran kepada sekutu Maduro di Venezuela dengan berkata: “Jika mereka kekal setia, masa depan mereka akan menjadi sangat buruk.”
Beliau kemudian memberitahu akhbar New York Post bahawa tentera AS tidak akan dikerahkan sekali lagi ke Venezuela, selagi Naib Presiden Delcy Rodriguez melakukan apa yang Washington mahukan.
“Kami bercakap dengan beliau (Rodriguez) berkali-kali dan beliau faham,” kata Trump.
Mahkamah Agung Venezuela lewat kelmarin mengarahkan Rodriguez menjadi presiden sementara negara itu, selepas AS menculik Maduro dan mengusirnya keluar dari Venezuela.
“Mahkamah tinggi memutuskan bahawa Rodriguez akan mengambil dan melaksanakan dalam kapasiti pemangkuan, semua sifat, tugas dan kuasa yang wujud dalam jawatan Presiden.
“Ia adalah bagi menjamin kesinambungan pentadbiran dan pertahanan negara yang komprehensif,” kata arahan tersebut.
Ketika bercakap di stesen televisyen kerajaan Venezuela, Rodriguez bagaimanapun berkata, Maduro adalah satu-satunya Presiden Venezuela.
Lebih 150 pesawat AS dikerahkan dari 20 pangkalan untuk menjalankan misi digelar Operasi Absolute Resolve itu, demikian menurut pegawai tertinggi tentera AS, Jeneral Dan Caine.
“Tiada anggota AS yang terkorban dan tiada peralatan yang hilang dalam serangan itu, yang merupakan kemuncak perancangan dan latihan selama berbulan-bulan,” katanya.
Sementara itu, Trump berkata, Washington akan ‘mentadbir’ Venezuela sehingga peralihan yang selamat, betul dan bijaksana dapat dipastikan, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
“Kita akan mempunyai syarikat minyak Amerika yang sangat besar, terbesar di mana-mana sahaja di dunia, yang akan melabur, membelanjakan berbilion dolar, membaiki infrastruktur minyak yang rosak teruk dan mula menjana wang untuk negara,” katanya.
Negara Amerika Selatan itu mempunyai kira-kira 303 bilion tong minyak mentah, menyumbang kira-kira 20 peratus daripada sumber minyak dunia, demikian menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga AS.
Sementara itu, pesawat yang membawa Maduro dan isterinya, Cilia Flores mendarat selepas pukul 4.30 petang (waktu tempatan) di Pangkalan Udara Pengawal Kebangsaan Stewart, New York.
Mereka kemudian diterbangkan dengan helikopter ke bandar Manhattan sebelum dibawa ke pusat tahanan Metropolitan Detention Centre di Brooklyn, kata beberapa pegawai kepada saluran berita NBC News.
White House menyiarkan video di aplikasi X keadaan Maduro yang digari dan memakai sandal, sambil diiringi oleh ejen persekutuan melalui kemudahan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) di New York.
Maduro dijangka berdepan pertuduhan dadah dan senjata di mahkamah menjelang petang hari ini. – AFP/AGENSI














