fbpx
Sharnaaz menasihatkan pencipta kandungan agar berhenti menghasilkan kandungan media sosial yang mengetengahkan isu suami takut kepada isteri kerana boleh membawa kepada keruntuhan rumah tangga sendiri.

Sikit-sikit konten takut bini, takut sudahnya bercerai – Sharnaaz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon Sharnaaz Ahmad menasihatkan pencipta kandungan agar berhenti menghasilkan kandungan media sosial yang mengetengahkan isu suami takut kepada isteri kerana boleh membawa kepada keruntuhan rumah tangga sendiri.

Menurut Sharnaaz, kandungan dan lakonan sebegitu tanpa sedar akan menjadi sebati dalam diri pencipta kandungan selain menjadi contoh buruk kepada masyarakat.

“Aku bukannya marah tetapi lebih kepada nasihat. Betul kita kena ikut peredaran zaman yang semakin moden dan mahu beri pengaruh kepada orang ramai.

“Tidak kisahlah lelaki atau perempuan yang suka buat kandungan mengenai isu takut bini. Sikit-sikit takut bini.

“Kalau nak tahu perkara itu akan mempengaruhi perkahwinan kalian sendiri,” katanya dalam Instagram.

Bukan sahaja golongan lelaki, dia juga menegur pencipta kandungan wanita berstatus isteri yang menghasilkan kandungan sebegitu tanpa memikirkan implikasi terhadap diri sendiri.

Dia juga berpendapat, kebanyakan rumah tangga individu yang menghasilkan kandungan suami takut isteri berakhir dengan perceraian atau berantakan.

“Kepada kaum wanita yang kononnya berlakon, kalian sebenarnya akan terbawa-bawa perkara itu dalam kehidupan sebenar dan akan jadi cara bercakap dengan suami.

“Kalau kalian perasan, yang mana suka buat konten ke arah itu, kesudahannya bercerai. Jadi ini nasihat saya, lelaki bukan takut dengan perempuan, tetapi hormat.

“Tapi kalau dah buat konten ke arah macam terketar-ketar bila bini nak cakap, dia siapa? Dia seorang wanita saja.

“Wanita memang watak yang sangat penting dalam kehidupan kita sebab tu Allah SWT ciptakan dia daripada lelaki sekalipun. Jadi, kita hormati wanita tetapi kita tak perlu takut dengan mereka,” tuturnya.

Tambahnya, teguran tersebut juga enggan melihat lebih banyak kes perceraian berlaku ketika ini berpunca daripada kandungan media sosial sebegitu.

“Kalau dalam perkahwinan kalian takut pada seorang wanita, kalian akan ada masalah, percayalah.

“Ini satu nasihat kepada daripada seorang yang dah tua dan pernah bercerai tetapi saya bercerai bukan sebab kes itu.

“Saya tak mahu kes bercerai yang berlaku di depan mata ketika ini bermula disebabkan hal tersebut,” ujarnya lagi.

Kata bintang filem Blood Brothers: Bara Naga itu, dia memilih untuk menyekat akaun pencipta kandungan yang menjual kandungan sebegitu selain merasakan menjatuhkan maruah sendiri.

“Ramai pencipta kandungan bermula daripada situ dan kesudahannya bercerai disebabkan apa? Mereka terlupa watak yang dia berlakon dan bawa ke dunia realiti seperti kurang ajar dengan suami.

“Ketika itu, sudah terlambat untuk diperbetulkan semula.

“Ini satu nasihat ikhlas daripada Mamu. Kepada semua pencipta kandungan yang ada video-video begitu, sudah lama saya ‘block’ sebab kalian bukan lelaki tetapi semata-mata nak cari duit dan memalukan diri sendiri,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI