KOTA BHARU – Seorang peniaga didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan penyambungan elektrik secara haram untuk melombong bitcoin di sebuah premis di Kampung Lundang di sini pada Oktober tahun lalu.
Loo Siong Hong, 43, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Mohamad.
Mengikut pertuduhan, OKS didakwa dengan curangnya menghalang meter elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada merekodkan dengan sempurnanya pengguna habisan elektrik dengan cara membuat sambungan haram yang disambung pada bahagian terminal keluaran suis fius di panel meter dan dialirkan ke premis.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Kampung Lundang di sini kira-kira pukul 3 petang pada 15 Oktober tahun lalu.
OKS didakwa di bawah perenggan 37(3)(e)Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan boleh dihukum di bawah subperenggan 37(3)(A)(ii) akta sama yang memperuntukkan denda RM20,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Jabatan Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga, Khairul Nizam Mohd Kamal manakala OKS tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Khairul Nizam memohon hukuman setimpal dikenakan kepada OKS memandangkan kes berkenaan serius dan melibatkan kepentingan awam selain TNB perlu menanggung kerugian sebanyak RM1.33 juta.
“Jenayah yang dilakukan OKS bukan kesalahan tipikal sebaliknya mencuri elektrik bagi tujuan melombong bitcoin. Ia merupakan jenayah yang terancang dan kesannya bukan hanya kepada individu, tetapi kepada kita semua.
“Perlu ditegaskan bahawa jumlah kerugian yang dialami oleh pihak TNB akibat kegiatan mencuri elektrik dalam kes ini berjumlah RM1.33 juta. Ini adalah jumlah yang akan dikira sebagai ‘system loss’ yang akan mengakibatkan impak kenaikan kepada tarif elektrik kepada semua pengguna,” katanya.
Siong Hong memohon hukuman denda yang minimum kerana sudah insaf dan memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan kes.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM80,000 selain berharap kes berkenaan adalah yang terakhir di Kelantan dan berharap hukuman tersebut dapat memberi pengajaran kepada individu lain. – KOSMO! ONLINE














