JAKARTA – Pasukan penyelamat Indonesia menemukan mayat jurulatih pasukan bola sepak wanita Valencia FC, Femenino yang hilang bersama anak-anaknya selepas bot pelancong dinaiki mereka terbalik di perairan Labuan Bajo bulan lalu, lapor portal berita Jakarta Globe.
Polis Nusa Tenggara Timur berkata, mayat Fernando Martin Carreras, 44, ditemukan pukul 8.47 pagi (waktu tempatan) semalam.
“Berdasarkan pengecaman oleh polis dan Hospital Komodo Labuan Bajo, kami mengesahkan bahawa mayat yang dijumpai adalah salah seorang mangsa insiden bot pelancong KM Putri Sakinah yang karam pada 26 Disember lalu,” kata Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Maumere, Fatur Rahman.
Mayat Martin ditemukan selepas mayat seorang anak lelakinya yang juga hilang dalam kemalangan itu dijumpai bulan lalu. Isteri mangsa dan anak perempuan mereka selamat dalam kejadian itu.
Pihak berkuasa melanjutkan operasi mencari dan menyelamat berhampiran lokasi mayat Martin ditemukan sehingga 7 Januari ini.
Bot pelancong tersebut mengalami kegagalan enjin semasa berlayar dari Pulau Komodo ke Pulau Padar, menyebabkan ia terbalik dan karam pada akhir bulan lalu. – AGENSI














