JURULATIH Kuala Lumpur City (KL City), Risto Vidakovic memuji kualiti penyerang veteran, Paulo Josue yang meledak dua gol untuk membantu pasukan meneruskan rentak kemenangan dengan membenam Imigresen FC 4-2 dalam aksi Liga Super, semalam.
Pada aksi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu, skuad Warga Kota meraih tiga mata penuh hasil jaringan berganda Josue yang juga pemain naturalisasi Harimau Malaya itu dengan satu lagi gol disumbangkan oleh Safawi Rasid dan Kpah Sherman.
Menurut Vidakovic, Josue memberikan pengaruh yang luar biasa di atas padang tetapi dalam masa yang sama barisan kejurulatihan perlu waspada memandangkan usianya kini mencecah usia 37 tahun.
“Josue memiliki kualiti individu yang boleh membuat perbezaan pada mana-mana perlawanan. Kita harus akui dia ada mempunyai karakter yang istimewa, tetapi kita juga tidak boleh terlalu bergantung harap padanya dengan menguruskan minit permainannya dengan baik musim ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














