PETALING JAYA – Berbelas tahun selepas bercerai dan menunggu penuh sabar, pelakon Abby Abadi akhirnya menerima bayaran mas kahwin tertangguh selama 22 tahun daripada bekas suami yang juga aktor, Norman Hakim
Pemilik nama lengkap Arbaiyah Abdul Manan, 49, turut meluahkan rasa syukur kerana suaminya, Faizal Zakaria serta isteri Norman, Memey Suhaiza tidak pernah campur tangan dalam urusan tertunggak tersebut sebelum ini.
“Dengan tenangnya saya kongsikan serba sedikit supaya semua tahu, yang ini (mas kahwin) sudah selesai selepas 22 tahun.
“Terima kasih suami dan Memey kerana tak pernah campur urusan yang tertangguh ini.
“Bukan nak kongsi sangat pun sebenarnya, cuma nak maklumkan berkat kesabaran selama 22 tahun ini, rezeki saya tetap rezeki saya. Alhamdulillah,” katanya dalam hantaran TikTok.
Selain itu, pelakon drama Gerak Khas itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada Norman yang sanggup melunaskan tunggakan walaupun selepas dua dekad menunggu.
“Terima kasih Norman kerana sudi bayar apa yang tertunggak setelah berkemampuan.
“Awak kata tak perlu kongsi, tapi tak apalah saya suka nak kongsi.
“Saya terus menunggu dengan penuh kesabaran. Semoga berkat kesabaran 22 tahun ini, dapatlah saya sebuah mahligai bukan hanya di dunia, tetapi di syurga sana,” katanya lagi.
Pada masa sama, Abby turut menyatakan terdapat tunggakan lain melibatkan nafkah sepanjang tempoh perkahwinan sebelum ini.
“Yang saya tuntut nafkah makan minum dan tempat tinggal untuk 18 tahun, panjang lagi ceritanya.
“Yang ini hanya duit mas kahwin,” ujarnya.
Bagaimanapun, Abby tidak berkongi nilai yang diterima daripada Norman.
Sebelum ini, Abby dan Norman pernah mendirikan rumah tangga pada 2002 namun bercerai pada 2009.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 22, Marissa Dania Hakim, 20, dan Danisha Hakim, 17 tahun.
Selepas itu, Abby mendirikan rumah tangga bersama Faizal manakala Norman pula berkahwin kali kedua dengan Memey pada 2011. – KOSMO! ONLINE














