KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah pertuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan apabila mendakwa keputusan institusi kehakiman dikawal oleh kerajaan dalam sebuah ucapan.
Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman denda itu ke atas Razali, 59, selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
“Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya beliau gagal membayar denda itu,” kata hakim itu.
Mengikut pertuduhan, Razali didakwa menyebut perkataan berunsur menghasut di Padang Astaka Chukai, Kemaman antara pukul 9.30 dan hingga pukul 11.30 malam pada 10 November 2023.
Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang membawa hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham memohon supaya dikenakan hukuman pemenjaraan dengan mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan tertuduh.
“Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal, tegas dan berkesan terhadap tertuduh. Ini kerana tertuduh merupakan seorang individu berkedudukan tinggi dan berpengaruh, dan hukuman denda berpotensi dilihat sebagai satu beban yang boleh ditanggung tanpa memberikan kesan pencegahan yang sebenar,” katanya.
Bagaimanapun, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Razali memohon supaya anak guamnya tidak dikenakan hukuman pemenjaraan dengan alasan anak guamnya telah menabur jasa dalam politik di negara ini.
“Dalam kes ini tidak timbul isu keselamatan negara dan ketenteraman awam, kerana (kenyataan) tersebut tidak memberikan kesan kepada masyarakat.
“Hukuman pemenjaraan melebihi 12 bulan atau denda melebihi RM2,000 akan menyebabkan tertuduh hilang kelayakan sebagai ADUN selaras dengan Perkara 48 Perlembagan Persekutuan, sekali gus menyebabkan PRK perlu diadakan,” kata peguam itu.
Sepanjang perbicaraan yang bermula September 2025 seramai empat saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan termasuk tertuduh telah memberi keterangan. – KOSMO! ONLINE














