KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mengalami kecederaan lebam di kepala dan badan disyaki didera wanita berusia 21 tahun di sebuah kediaman di Sentul, di sini.
Tindakan itu akhirnya mengundang padah apabila wanita itu yang juga ibu kandung kanak-kanak terbabit ditahan polis, Jumaat lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 10.53 malam.
Menurutnya, bapa kanak-kanak itu dipercayai tiada ketika kejadian dan mangsa merupakan anak tak sah taraf.
“Mangsa mengalami kesan kecederaan yang teruk iaitu lebam di bahagian kepala, telinga, mata, badan, tangan dan kaki.
“Kanak-kanak itu juga kehilangan gigi depan, luka di bahagian peha kiri dan kanan, serta bibir yang kering dan berdarah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, mangsa dipercayai telah didera dalam tempoh dua minggu dan tidak mempunyai adik beradik yang lain.
Katanya, kanak-kanak perempuan berkenaan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan dan rawatan.
“Ibu mangsa bekerja sendiri sebagai penjual pakaian dalam talian dan mempunyai kesalahan lampau melibatkan dadah.
“Suspek direman selama enam hari sehingga 8 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














