PUTRAJAYA – Pendirian Malaysia terhadap situasi politik di Venezuela dilihat menceminkan prinsip konsisten negara ini sebagai sebuah negara bebas dan berdaulat yang berpegang teguh kepada kedaulatan undang-undang serta kerukunan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu selari dengan prinsip Malaysia terhadap konflik di Gaza selain situasi penentangan dasar aparteid yang berlaku di Afrika Selatan sebelum ini.
“Kenyataan saya terkait apa yang berlaku di Venezuela kerana tunjukkan Malaysia walaupun negara berkembang, (tetapi) adalah negara bebas dan berdaulat, tunduk kepada prinsip negara hukum, tatanan dan kerukunan antarabangsa.
“Sebab itu, kita mengambil satu pendirian yang tuntas atau konsisten sama ada di Gaza atau Venezuela atau pernah pemimpin utama kita dulu menentang aparteid di Afrika Selatan dan memperjuangkan kemerdekaan bagi negara yang pernah dijajah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Kelmarin, Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Venezuela dan menangkap Presidennya, Nicholas Maduro serta isterinya, Cilia Flores, sebelum dibawa keluar dari negara itu.
Untuk rekod, AS tidak pernah campur tangan secara langsung seumpama itu di rantau Amerika Latin, sejak pencerobohan ke atas Panama pada 1989 bagi menggulingkan pemimpin tentera, Manuel Noriega.
Media antarabangsa turut melaporkan Maduro dan isterinya sudah didakwa di Mahkamah Daerah Selatan New York atas pelbagai pertuduhan jenayah, termasuk narkotik dan keganasan membabitkan perdagangan dadah haram.
Semalam, Malaysia menegaskan penahanan Maduro dan isteri disifatkan sebagai pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa serta menuntut pemimpin negara itu dibebaskan segara. – KOSMO! ONLINE














