SETIAP kali tiba tahun baharu, azam untuk menurunkan berat badan kembali mendominasi perbualan termasuk di media sosial seolah-olah menjadi resolusi wajib yang diulang saban tahun tanpa perubahan ketara terhadap hasilnya.
Situasi ini mencerminkan realiti yang lebih besar iaitu kegagalan masyarakat untuk memahami konsep sebenar diet yang sihat dan mampan.
Menurut Pegawai Dietetik, Wan Nurul Hazirah Wan Alkamar Shah, antara punca utama kegagalan itu adalah kecenderungan individu memilih diet ekstrem yang sukar dikekalkan untuk jangka masa panjang.
Diet popular seperti diet tanpa karbohidrat, keto dan ‘water fasting’ sering dianggap jalan pantas untuk kurus, walaupun hakikatnya kaedah itu tidak sesuai untuk semua.
Katanya, dalam sains pemakanan, penurunan berat badan tidak berlaku semata-mata dengan menyingkirkan makanan tertentu. Apabila tubuh dinafikan sumber tenaga utama seperti karbohidrat, individu itu akan keletihan, rasa lapar berpanjangan dan memberi tekanan emosi.
“Tak nak makan nasi dan roti sebab fikir akan kurus. Itu betul, tetapi kalau kurang makan atau diet kurang kalori adakah ia mampu dikekalkan? Secara asasnya badan perlukan karbohidrat untuk hidup.
“Bila tiba musim raya, ambil karbohidrat jadi berat badan terkesan dan akhirnya berputus asa. Keadaan ini menjelaskan mengapa ia hanya bertahan beberapa bulan.
“Lebih membimbangkan, wujud persepsi kurus bermaksud sihat, sedangkan ia tidak semestinya seiring,” katanya.
Menurutnya, kegagalan azam turut dipengaruhi obsesi terhadap angka pada penimbang berat tanpa mengambil kira kekuatan tubuh, tahap tenaga dan kesihatan keseluruhan.
“Di Malaysia, faktor budaya pemakanan juga sering dijadikan alasan kegagalan diet, khususnya makanan bersantan, dan manis dilabel tidak sihat.
“Hakikatnya, makanan tradisional bukanlah punca utama, sebaliknya cara penyediaan, saiz hidangan dan kekerapan pengambilan yang perlu disesuaikan.
“Selain itu, antara kesalahan yang selalu rakyat Malaysia lakukan adalah pada waktu sarapan, protein diambil tidak mencukupi dan ambil lauk dan nasi ‘membukit’ pada tengah hari. Ini salah, sepatutnya ambil protein mencukupi waktu pagi, kita akan kenyang lama.
“Persepsi pemakanan sihat itu mahal juga menjadi penghalang, walhal konsep sihat lebih berkait dengan pemilihan dan kaedah penyediaan makanan, bukan jenama atau label,” katanya.
Justeru, katanya, peranan pakar dietetik dan pakar pemakanan amat penting bagi membantu individu memahami keperluan tubuh.
“Perkara pertama saya sarankan adalah jangan skip makan, jaga saiz hidangan dan memastikan setiap hidangan ada protein mencukupi. Sebab itu kita tidak boleh semata-mata bertanya ChatGPT mengenai tips atau cara untuk kurus kerana setiap badan dan latar belakang berbeza.
“Kalau betul-betul mahukan kaedah pemakanan terbaik untuk diri masing-masing bolehlah mendapatkan bimbingan daripada pakar atau sertai kumpulan-kumpulan dengan motivasi yang tinggi,” ujarnya.
Secara kesimpulannya, selagi azam menurunkan berat badan didasari persepsi dan jalan pintas, selagi itulah ia akan terus menjadi kitaran tahunan yang gagal tanpa perubahan sebenar terhadap gaya hidup dan kesihatan.














