MELAKA – Dua anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) cedera selepas pacuan empat roda yang dinaiki mereka terlibat nahas ketika menuju ke lokasi operasi kes buaya di Persisiran Pantai Klebang, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang itu, seorang anggota lelaki berusia 28 tahun dan wanita 20 tahun masing-masing cedera di kening serta sakit dada.
Turut cedera seorang guru lelaki berusia 53 tahun yang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian, pasukan penguat kuasa itu dalam perjalanan dari Bukit Rambai ke Klebang dengan keadaan lampu mata arah (beacon) dan siren dihidupkan.
“Setibanya di persimpangan lampu isyarat di Jalan Persisiran Pantai, pacuan empat roda dinaiki tiga anggota APM membelok ke kanan selepas memastikan keadaan selamat.
“Tiba-tiba sebuah X50 dari arah Klebang ke bandar Melaka melanggar bahagian hadapan kenderaan tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujarnya, laporan dibuat guru berkenaan bagaimanapun mendakwa, ketika tiba di lokasi, lampu isyarat baru bertukar kuning dan dia meneruskan perjalanan sebelum tiba-tiba kenderaan APM itu membelok ke kiri.
“Kedua-duanya mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan. Seorang lagi anggota APM yang memandu pacuan empat roda tersebut berusia 37 tahun tidak cedera.
“Guru terbabit mengalami kecederaan di bibir dan sakit dada,” ujarnya.
Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan. – KOSMO! ONLINE














