PUTRAJAYA – Kerajaan memperuntukan dana segera berjumlah RM200 juta pada tahun ini bagi melaksanakan pembaikan segera terhadap sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz yang disifatkan berada dalam keadaan daif berbanding sekolah-sekolah lain di negara ini.
Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diminta mengadakan rundingan bersama sekolah terlibat berhubung perkara berkenaan.
“Tetapi bila kita lihat laporan sekolah agama rakyat, keadaanya paling daif berbanding semua sekolah negara di negara kita. Walaupun ia tidak termasuk dalam skim sekolah ikut dasar pelajaran kebangsaan, tetapi ada lebih 300,000 pelajar daripada sekolah agama rakyat.
“Jadi, kita minta sekarang Jakim untuk runding dengan sekolah ini, baiki kurikulum, mutu pelajaran, mutu guru biar terlatih.
“Dan kita sediakan dana untuk memperbaiki kemudahan sekolah ini cecah ribuan ringgit, kita sediakan (dana) sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz sebanyak RM200 juta peruntukan segera,” katanya.
Beliau berkata ketika menyampaikan amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Pada masa sama, Anwar berkata, kerajaan turut meningkatkan peruntukan terhadap Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sebanyak RM80 juta berbanding hanya RM50 juta tahun lalu.
“Dan kita ada juga sekolah SJKC, itu dijalankan dana sekarang dan ada juga sekolah itu anak-anak Bumiputera dan India, tanpa kecuali dulu kita sediakan RM50 juta, sekarang RM80 juta untuk SJKC.
“Bagi sekolah Tamil pula, walaupun jumlahnya kecil, tetapi ada sekolah itu daif dan kita sediakan RM50 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE














