fbpx
Gambar hiasan

Cuepacs seru penjawat awam urus kenaikan gaji secara berhemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

PETALING JAYA– Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyeru penjawat awam menguruskan kenaikan gaji yang diterima secara berhemah dan berdisiplin, selain terus meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, Cuepacs mengambil maklum penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam dibuat berdasarkan kemampuan kewangan negara dengan implikasi perbelanjaan keseluruhan kira-kira RM18 bilion, dan bukan atas desakan mana-mana pihak.

Menurut beliau, kenaikan gaji itu merupakan satu penghargaan serta pengiktirafan besar kerajaan terhadap sumbangan, pengorbanan dan komitmen penjawat awam dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan awam yang cekap serta berintegriti.

“Sehubungan itu, penjawat awam dinasihatkan agar menguruskan peningkatan pendapatan dengan mengutamakan keperluan asas isi rumah serta perancangan kewangan jangka panjang.

“Kenaikan pendapatan tidak seharusnya mendorong kepada perbelanjaan berlebihan sehingga memberi tekanan kewangan kepada individu dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Cuepacs merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Madani atas komitmen berterusan menjaga kebajikan penjawat awam, termasuk pelaksanaan kenaikan gaji fasa kedua sebanyak tujuh peratus bermula Januari 2026.

Langkah tersebut jelas beliau membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan penjawat awam seiring dengan tanggungjawab fiskal negara.

Sebagai timbal balik kepada kepercayaan dan pelaburan besar kerajaan itu, Cuepacs berharap penjawat awam terus meningkatkan prestasi kerja, memperkukuh integriti, mempertingkatkan produktiviti serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.

Pada masa sama, Cuepacs turut menyeru seluruh warga perkhidmatan awam agar terus menzahirkan kesetiaan kepada Kerajaan Madani, menyokong agenda reformasi perkhidmatan awam serta memainkan peranan aktif dalam membina negara yang lebih mampan, adil dan sejahtera.

“Penjawat awam yang sejahtera, beretika dan berdisiplin akan menjadi tunjang kepada kejayaan dasar-dasar kerajaan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI