KUALA TERENGGANU – Seorang bekas jurutera yang tular selepas gagal dalam cubaan melarikan barang kemas di dua premis bulan lalu didakwa atas tuduhan menggunakan wang palsu dan cubaan mencuri seutas gelang tangan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Ahmad Faisal Mohd. Sharani, 34, mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan secara berasingan di dua mahkamah. Hakim dan majistret menetapkan 19 Januari ini sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman.
Di Mahkamah Sesyen, Ahmad Faisal didakwa cuba menggunakan 359 keping wang palsu bernilai RM50 yang mempunyai nombor siri sama di sebuah kedai emas di Jalan Hiliran, Chabang Tiga, di sini pada pukul 3.10 petang, 18 Disember lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, lelaki itu didakwa cuba mencuri seutas gelang tangan bernilai RM29,000 di sebuah kedai emas di Paka, Dungun pada pukul 12.20 tengah hari, 25 Disember lalu. Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara 10 tahun dan denda di bawah Seksyen 380 akta yang sama. – KOSMO! ONLINE














